Jika ditanya kepada seorang bapa, atau ibu, apakah antara peristiwa yang manis dalam hidupnya, tentu antara jawapannya ialah ketika dia menyambut kelahiran anak. Kegembiraan menyambut kelahiran anak adalah antara kemuncak kebahagiaan dalam hidup berumahtangga. Sebagai insan di muka bumi ini, aku juga tidak lepas mengalami peristiwa yang manis ini. Pada 25 Julai 2009 pukul 3:58 petang maka lahirlah anakku yang ketiga. Bayi lelaki yang cukup montel dan cute.
Perasaan girang, syahdu dan tenang membelai hati apa lagi selepas memandang dan memeluk anakku buat kali pertama. Ku lontarkan Assalammualaikum sebagai pembuka bicara antaraku dengan anakku kerana aku pasti dia akan kenal suara itu memandangkan aku sering mengucapkan salam ketika dia masih di dalam kandungan isteriku.
Setelah itu aku terus mengazankannya dengan harapan ia menjadi hambaNya yang beriman kepadaNya dan Rasullullah.
Aku amat bersyukur kepada Allah. Syukur atas nikmat dan rekezi anak kurniaaanNya. Syukur di atas keselamatan nyawa dan kesihatan anak dan ibunya. Syukur atas kehilangan rasa runsingku menanti kelahiran anakku ini, dan syukur atas segalanya. Aku yakin bahawa Allah menjamin akan menambahkan nikmat kepada hamba-hambanya yang bersyukur.
Lantas kucapai telefon bimbit Nokia N73ku, untuk memberitakan khabar gembira ini kepada keluarga, dan rakan-rakan. Bukan untuk menunjuk-nunjuk, jauh sekali untuk berbanga-bangga. Tapi, atas semangat agama yang menganjurkan agar kita memberitakan nikmat kepada orang lain. Ini kerana memberitakan nikmat adalah sebahagian dari bersyukur. Secara tidak langsung, mereka yang menerima berita dapat mendoakan buat kita dan turut melafazkan syukur kepada Allah.
0 ulasan:
Post a Comment