Blogroll

Thursday, November 26, 2009

Hari Raya Korban

Hari Raya Korban Aidil Adha atau Hari Raya Haji merupakan perayaan yang dirayakan diseluruh dunia bagi menandakan berakhirnya tempoh mengerjakan ibadat haji di Mekah, yang merupakan rukun Islam kelima yang terakhir bagi mereka yang mampu, dan menandakan bermulanya ibadat korban untuk dibahagi-bahagikan kepada fakir miskin.

Aidiladha adalah perayaan yang istimewa kerana ia merupakan hari untuk umat Islam memperingati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim dalam menunaikan perintah Allah dan ke-sabaran anaknya Nabi Ismail dalam memenuhi perintah Allah s.w.t.

Selain itu, salah satu keistimewaan Aidiladha dan Hari Tasyrik ialah ibadat korban. Ibadat korban ini hanya boleh dilakukan dalam empat hari iaitu bermula waktu selepas khatib menyampaikan khutbah Aidiladha sehingga sebelum tenggelam matahari pada hari ke-13 Zulhijah.

Dari segi bahasa, korban bermaksud dekat, manakala dari segi istilah ia bermaksud menjalankan perintah agama atau taat kepada perintah Allah kerana ingin mendekatkan diri kepada-Nya.

Hari Raya Korban jatuh pada hari kesepuluh pada bulan Zulhijjah, bulan terakhir pada kalender Hijrah Islam. 10 Zulhijjah merupakan tarikh penting dalam sejarah Islam di mana Nabi Adam dan isterinya Hawa dikeluarkan dari syurga dan diturunkan ke bumi sebelum berjumpa di padang Arafah, di luar bandar Mekah.

Pada hari raya, orang Islam disunatkan mengenakan pakaian yang paling cantik, paling bersih, dan juga mengenakan wangi-wangian. Pada pagi hari raya korban, umat Islam akan mengerjakan sembahyang sunat Hari Raya sebanyak 2 rakaat akan diadakan pada sebelah pagi, biasanya agak awal sedikit berbanding Hari Raya Aidil Fitri.

Selain itu, salah satu keistimewaan Aidil Adha dan Hari Tasyrik ialah ibadat korban. Ibadat korban ini hanya boleh dilakukan dalam empat hari iaitu bermula waktu selepas khatib menyampaikan khutbah Aidil Adha sehingga sebelum tenggelam matahari pada hari ke-13 Zulhijah.

Selepas bersembahyang, upacara korban akan dimulakan. Lembu, kambing, dan biri-biri yang dikorbankan akan disembelih secara beramai-ramai di kawasan masjid sebelum dibahagi-bahagikan kepada orang ramai terutamanya kepada golongan fakir miskin.

Hari Raya Aidil Adha disambut ketika umat Islam membuat penziarahan ke Mekah, mengunjung Kaabah dan melakukan korban sembelihan. Al-Quran tidak menyatakan, tetapi umat Islam memegang bahawa perayaan korban ini memperingati kesanggupan Nabi Ibrahim untuk menyerahkan anaknya sebagai korban kepada Tuhan.

Sunday, November 22, 2009

Langkawi Oh Langkawi Bahagian 2

Sebaik sahaja selesai menikmati sarapan pagi di hotel, kami telah dimaklumkan akan melawat ke Galeri Perdana tempat yang mempamerkan semua barang yang berkaitan dengan bekas Perdana Menteri Malaysia yang keempat iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad. Perjalanan ke galeri itu mengambil masa hampir setengah jam.
Sebaik tiba di Galeri Perdana, hujan renyai-renyai menyambut ketibaan kami. Seperti biasalah bayaran dikenakan sebelum masuk ke dalam. Itulah untungnya jadi rakyat Malaysia melihat khazanah bangsa sendiri perlu mengeluarkan belanja. Jangan satu hari nanti salahkan generasi muda yang lupa akan khazanah dan sejarah mereka sendiri akibat ingin mencari keuntungan semata-mata.Kami berada di situ hampir setengah jam. Memang menarik di Galeri Perdana kerana pelbagai barang berkaitan Tun Dr Mahathir Mohamad dapat dilihat.
Selepas itu, kami sekali lagi dibawa untuk membeli belah buat kali terakhir sebelum kami bertolak pulang ke Kuala Rompin. Sebaik sahaja aku dan isteri membeli barangan yang kami inginkan, kami telah mengambil keputusan untuk berpisah dengan rombongan bagi memberi laluan kepada anakku yang bongsu mendapat rehat yang cukup bagi memastikan dia tidak meragam dalam perjalanan pulang.
Kami berlepas dari jeti Pulau Langkawi pada pukul 2:30 petang dan sampai di jeti Kuala Perlis sejam kemudian. Selepas menyimpan barang di perut bas, kami bertolak pulang ke Kuala Rompin tepat jam 3 petang. Perjalanan pada kali ini amat menyeronokkan kerana kami dapat melihat pemandangan di negeri Perlis dan Kedah yang sememangya terkenal dengan pemandangan sawah padinya.
Kami selamat tiba di perkarangan SK Sungai Puteri sekitar jam 5:30 pagi. Aku dan keluarga selamat tiba di rumah 10 minit kemudian. Walaupun penat namun kami tetap gembira menimba pengalaman di tempat orang. Aku dan isteri akan ke Langkawi lagi kerana MISI KAMI belum selesai...................

Tuesday, November 17, 2009

Langkawi Oh Langkawi Bahagian 1

Pada 13 hingga 15 November 2009 aku sekeluarga berkesempatan untuk mengikuti rombongan SK Sungai Puteri ke Pulau Langkawi. Kami bertolak dari perkarangan SK Sungai Puteri sekitar jam 5 petang, 13 November dan tiba di hadapan masjid besar Kuala Perlis 5:30 pagi untuk kami membersihkan diri dan mendirikan solat Subuh berjemaah.
Selesai sahaja solat Subuh, rombongan terus dibawa ke Jeti Kuala Perlis. Walaupun feri yang kami naiki pada pukul 8 pagi, namun apakan daya kerana sudah adat mengikuti rombongan kena ikut kata mastermind. Namun itu semua aku tak kisah kerna aku perlu melayani 3 orang anakku. Aku juga terpaksa membeli handplas memandangkan anak keduaku melecet kakinya kerana stokin yang dipakainya telah basah dan terpaksa memakai kasut tanpa stokin. Itu pasallah kakinya melecet.
Tepat jam 8 pagi, tiba giliran rombongan kami menaiki feri. Anak sulung dan keduaku paling teruja maklumlah kali pertama naik feri. Semasa di dalam feri aku sempat merakamkan panorama yang dapat dilihat disepanjang perjalanan menuju ke Pulau Langkawi.
Lebih kurang sejam berada di dalam perut feri itu, kami selamat sampai di Pulau Langkawi. Alangkah terkejutnya aku melihat begitu ramai orang mengunjungi Pulau Langkawi ini. Rombongan kami telah disambut oleh Encik Azizan atau lebih dikenali dengan Pak Zan. Beliau merupakan pemandu pelancong kami sepanjang kami berada di Pulau Langkawi ini.
Tempat pertama yang kami lawati ialah tempat membuat minyak gamat. Di sini pelbagai produk berasaskan gamat dijual. Aku turut mengambil kesempatan untuk merasai air tongkat ali. Isteriku dan ahli rombongan yang lain mengambil kesempatan membeli produk yang dijual disitu. Apa yang menarik tentang tempat ini ialah sebaik sahaja kami turun dari bas, seorang pemuda telah merakamkan aksi kami semasa turun dari bas. Aku berasa hairan kenapa perlu pemuda ini merakam kami. Kami bukan artis atau orang kenamaan. Rupa-rupanya bila aku bertanya kepadanya, dia menerangkan bahawa gambar yang dirakamkannya akan diproses untuk dilekatkan pada piring dan kemudiannya dijual kepada kami sekiranya kami berjaya menjumpainya.
Tempat kedua yang kami lawati ialah Makam Mahsuri. RM5 untuk dewasa dan RM2 untuk kanak-kanak 7 tahun ke atas dikenakan untuk masuk ke makam ini. Sebaik masuk ke perkarangan makam ini kami terus dibawa menonton lakonan semula kisah Mahsuri yang menyayat hati. Kemudian kami berjalan sekitar kawasan makan itu. Seperti biasa aku sempat merakamkan panorama di situ.
Selepas melawat Makam Mahsuri, kami telah dibawa untuk menjamu selera kerana jam telah menunjukkan pukul 1 petang. Sebaik sahaja selesai makan tengah hari. Kami dibawa ke hotel tempat di mana kami menginap. Kami dibenarkan berehat selama sejam sebelum perlu berada di lobi hotel pada pukul 3 petang untuk menyambung lawatan kami.
Tepat jam 3 petang, kami telah dibawa ke tempat membeli belah yang terkenal di Pulau Langkawi iaitu Haji Ismail Group. Inilah syurga orang perempuan, aku tanpa diminta menjaga anak-anakku sementara isteriku sibuk memilih barang yang diingininya. Alhamdulilah semasa berada di situ hari hujan menyebabkan cuaca tidak begitu panas dan anak-anakku tidak meragam.
Selepas hampir 2 jam 30 minit, rombongan kami telah dibawa ke satu lagi tempat membeli belah di pulau lagenda ini iaitu di Idaman Suri. Kaum wanita tersenyum lebar manakala kaum lelaki sibuk meraba poket belakang merasai isi dompet yang masih ada.
Tepat jam 7 malam, kami telah dibawa ke Restoren Buluh untuk menikmati makan malam. Restoren yang dibina dekat dengan pantai amat menarik sekali pemandangan dengan tiupan bayu laut yang nyaman dan menyegarkan. Namun aku, isteriku dan anak keduaku terpaksa melupakan hasrat untuk menikmati juadah pada malam itu kerana anak ketigaku yang berumur 4 bulan meragam untuk tidur. Walaupun dicuba untuk menidurinya namun dia tetap berkeras untuk tidur dengan selesa. Aku terpaksa mengambil keputusan untuk pulang sahaja ke hotel dengan menaiki teksi yang kebetulan menghantar pelanggan ke restoren itu. Sikap pemandu teksi ini yang bersimpati dengan masalah kami amat aku hargai.
Sebaik sahaja sampai di bilik anakku terus tidur dengan lenanya di dalam dakapan ibunya. Begitu juga dengan anakku yang kedua. Aku perlu menantikan kepulangan anak pertamaku yang aku tinggalkan dengan rakan setugasku Cikgu Zulfikri dengan isterinya. Alhamdulilah tepat jam 8:50 malam anakku yang sulung tiba di muka pintu bilikku.
Selepas itu faham sajalah apa yang berlaku tak lain dan tak bukan tidur untuk mendapatkan rehat yang cukup untuk meneruskan aktiviti pada keesokkan harinya....
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...