Qarin
adalah jin yang dicipta oleh Allah sebagai pendamping manusia. Boleh
dikatakan ia sebagai ‘kembar’ manusia. Setiap manusia yang dilahirkan ke
dunia ini pasti ada Qarinnya sendiri. Rasulullah s.a.w sendiri tidak
terkecuali. Cuma bezanya, Qarin Rasulullah adalah Muslim. Manakala yang
lainnya adalah kafir.
Pada
umumnya Qarin yang kafir ini kerjanya mendorong dampingannya membuat
kejahatan. Dia membisikkan was-was, melalaikan solat, berat nak baca
Al-Quran dan sebagainya. Malah ia bekerja sekuat tenaga untuk menghalang
dampingannya membuat ibadah dan kebaikan.
Firman
Allah: “Dan sesiapa yang tidak mengindahkan pengajaran (Al-Quran yang
diturunkan oleh Allah) Yang maha Pemurah, Kami akan adakan baginya
Syaitan (yang menghasut dan menyesatkannya), lalu menjadilah Syaitan itu
(Qarin) temannya yang tidak renggang daripadanya.” (Az-Zukhruf 43:36)
Untuk
mengimbangi usaha Qarin ini Allah utuskan malaikat. Ia akan membisikkan
hal-hal kebenaran dan mengajak membuat kebaikan. Maka terpulanglah
kepada setiap manusia membuat pilihan mengikut pengaruh mana yang lebih
kuat. Walau bagaimanapun orang-orang Islam mampu menguasai dan
menjadikan pengaruh Qarinnya lemah tidak berdaya. Caranya dengan membaca
“Bismillah” sebelum melakukan sebarang pekerjaan, banyak berzikir,
membaca Al-Quran dan taat melaksanakan perintah Allah.
Rasulullah
s.a.w bersabda: “Tiada seorang pun daripada kamu melainkan sudah
diwakili bersamanya Qarin daripada jin dan malaikat. Mereka bertanya:
“Engkau juga ya Rasulullah?” Sabdanya: “Ya aku juga ada, tetapi Allah
telah membantu aku sehingga Qarin itu dapat ku islamkan dan hanya
menyuruh aku dalam hal kebajikan sahaja.” (Hadith Riwayat Muslim dan
Ahmad)
Aisyah r.a
menceritakan bahawa pada suatu malam Rasulullah s.a.w keluar dari
rumahnya (Aisyah), lalu Aisyah berkata: “Aku merasa cemburu.” Tiba-tiba
Baginda s.a.w berpatah balik dan bertanya: “Wahai Aisyah apa sudah jadi,
apakah engkau cemburu?” Aku berkata: “Bagaimana aku tidak cemburu orang
yang seumpama engkau ya Rasulullah.” Sabda Baginda s.a.w: “Apakah
engkau telah dikuasai oleh syaitan?” Aku bertanya: “Apakah aku ada
syaitan?” Sabda Baginda s.a.w: “Setiap insan ada syaitan, iaitu Qarin.”
Aku bertanya lagi: “Adakah engkau pun ada syaitan ya Rasulullah?” Jawab
Baginda: “Ya, tetapi Allah membantuku sehingga Qarinku telah masuk
Islam.” (Hadith Riwayat Muslim)
Di dalam
hadith lain Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Aku dilebihkan
daripada Nabi Adam a.s dengan dua perkara, iaitu pertama syaitanku kafir
lalu Allah menolong aku sehingga dia Islam. Kedua, para isteriku
membantu akan daku tetapi syaitan Nabi Adam tetap kafir dan isterinya
membantu ia membuat kesalahan.” (Hadith Riwayat Baihaqi)
Ibn Muflih
al-Muqaddasi menceritakan: Suatu ketika syaitan yang mendampingi orang
beriman, bertemankan syaitan yang mendampingi orang kafir. Syaitan yang
mengikuti orang beriman itu kurus, sedangkan yang mengikuti orang kafir
itu gemuk. Maka ditanya mengapa engkau kurus, “Bagaimana aku tidak
kurus, apabila tuanku masuk ke rumah dia berzikir, makan dia ingat
Allah, apabila minum pun begitu.” Sebaliknya syaitan yang mengikuti
orang kafir itu pula berkata: “Aku sentiasa makan bersama dengannya dan
begitu juga minum.”
Qarin akan
berpisah dengan ‘kembarnya’ hanya apabila manusia itu (kembarnya)
meninggal dunia. Roh manusia akan ditempatkan di alam barzakh, sedangkan
Qarin terus hidup kerana lazimnya umur jin adalah panjang. Walau
bagaimanapun, apabila tiba hari akhirat nanti maka kedua-duanya akan
dihadapkan ke hadapan Allah untuk diadili. Tetapi Qarin akan berlepas
tangan dan tidak bertanggungjawab atas kesesatan atau kederhakaan yang
dilakukan manusia itu.
0 ulasan:
Post a Comment