"Saya mula bekerja di agensi telemarketing,
sebagai kerani pentadbiran kira-kira dua tahun lalu dan kemudian berhenti
kerana agensi terbabit tidak membayar gaji saya. Ruang pejabat di tingkat dua
dibahagikan kepada banyak partition diduduki telemarketer bertugas
menghubungi pemegang kad kredit dan kad debit menggunakan telefon. Jumlah
mereka mencecah lebih empat puluh orang, majoriti berbangsa Melayu dan India,
tiada Cina. Lebih menarik, kebanyakkan mereka graduan institusi pengajian
tinggi atau individu biasa tetapi mempunyai kemahiran bercakap secara
berkesan. Sepanjang tempoh latihan seminggu, pihak pengurusan agensi memberikan
bakal telemarketer skrip sebagai rujukan untuk membuat panggilan dan
kaedah menjawab soalan untuk dihafal. Antara pengisian utama modul, cara untuk
menyakinkan pelanggan agar akhirnya bersetuju mendedahkan tiga nombor kod
di belakang kredit kad dan debit mereka atau lebih dikenali sebagai security
code bank," kata anak kelahiran Johor itu saya temui di restoran
mamak.
"Baik, ini kad kredit. Nombor manakah awak
maksudkan?," soal saya.
Elis kemudian spontan mengangkat kad kredit saya letakkan di
atas meja.
"Nombor di belakang kad ini, di sebelah kanan
tandatangan pemilik. Nombor tiga digit ini amat penting kepada telemarketer,"
responnya.
Saya mendengar dengan teliti sambil merakamkan kenyataan
Elis menggunakan perakam suara jenis Sony.
"Sewaktu membuat panggilan, kami mulakan dengan
kenyataan standard. Assalamulaikum encik! Saya Elis daripada bank A dan
bekerjasama dengan syarikat insuran B untuk menawarkan skim insuran kepada
pemegang kad kredit. Memang semua telemarketer tidak menggunakan nama
sebenar. Kemudian kami sambung ... nama encik, Mazidul Akmal Sidik, terlebih
dahulu saya ingin membuat semakan nombor kad pengenalan encik, 670319 .....
Betul? Pemilik kad lazimnya berkata 'ya' kerana kami memang dibekalkan semua
perincian peribadi bakal mangsa seperti alamat, alamat rumah, nama pewaris dan
termasuk nombor kad kredit visa dan mastercard mereka," jelas Elis.
"Kemudian?," celah saya.
Ternyata wanita itu amat petah berkomunikasi.
"Kemudian kita cakap, baiklah encik, sekarang saya
ingin mengesahkan nombor kad kredit visa encik. Katalah 6080-0978-0800,
bolehkah encik tolong bacakan tiga nombor di belakang kad, bersebelahan
tandatangan? Sebenarnya ramai tidak mengetahui itu security code bank.
Kami sengaja bertanya walhal selalunya kami memang mempunyai maklumat itu
tersenarai," katanya.
"Kalau sudah memiliki nombor kad kredit dan security
code mengapakah awak harus bertanya kepada pemilik kad?," tanya saya
keraguan.
"Itu memang syarat ditetapkan oleh agensi. Sebelum itu
saya terangkan kepada dia, skim insuran ditawarkan mengenakan bayaran RM399
untuk setahun. Apapun, ayat terakhir setiap telemarketer lebih kurang
sama sahaja, jadi encik bersetuju kami akan cajkan RM399 ke akaun kad kredit
encik? Penolakan amaun itu akan bermula pada awal bulan hadapan dan kami
kemudian akan menghantarkan sijil insuran kepada encik. Kami mesti menunggu
sehingga dia berkata, saya bersetuju atau ok terlebih dahulu, sebelum nombor
kad kredit dan security code digunakan untuk tujuan pembayaran.
Biarpun pada awalnya kami memaklumkan dia penolakan bermula pada bulan hadapan,
sebenarnya kami akan caj kad kredit dia, pada hari sama. Setiap telemarketer dimestikan
membuat minimum dua sale sehari. Setiap pemilik kad bersetuju dengan
transaksi terbabit, telemarketer meraih komisyen RM100 manakala
syarikat mengaut keuntungan berbekalkan modal air liur, RM299," ujar Elis.
"Sebenarnya wujudkah hubungan di antara agensi, bank
serta syarikat insuran itu? Sijil insuran itu datang dari mana pula?,"
tanya saya sekaligus.
"Tidak! Itu semua penipuan! Sijil dijanjikan kepada
mangsa dicetak sendiri di pejabat. Bertujuan mengelakkan pemilik kad datang
menyerang, kami sedaya-upaya cuba untuk tidak akan memberikan alamat lengkap
kepada mereka. Manakala nombor telefon digunakan oleh telemarketer bukan
nombor talian tetap tetapi nombor telefon bimbit seperti 019, 017, 014 atau private
number," jelas Elis.
Kata Elis, purata bil telefon bulanan mencecah RM10,000
namun itu hanya sekelumit berbanding jumlah keuntungan diperolehi oleh
pengusaha agensi.
Tambah bekas pekerja agensi penipuan itu, majoriti mangsa
mereka, pengguna baru kad kredit atau kad debit.
Elis bekerja di antara jam 10 pagi dan 6 petang setiap hari
dan diberikan senarai ratusan data perbankan pemilik kad untuk dihubungi.
"Semua individu kami telefon itu tidak semestinya
memberikan layanan baik. Kebanyakkannya kami attack pengguna kad
kredit baru kerana mereka tidak begitu arif mengenai transaksi kad kredit jauh
sekali kegiatan sindiket penipuan. Tambahan pula barangkali sebilangan
bank gagal memperingatkan pelanggan agar tidak mendedahkan security code kad
kredit atau debit melalui panggilan telefon. Beberapa individu kami
hubungi, acapkali melontarkan soalan, kalau benar awak daripada bank,
mengapakah perlu bertanya dan mendapatkan security code kad kredit
saya? Kami akan balas dengan kenyataan, kami ingin membuat pengesahan, betulkah
encik pemegang sah kad kredit itu? Itu trick digunakan,"
responnya.
Menurut Elis, pengusaha agensi penipuan sebegitu meraih keuntungan
ribuan ringgit setiap sehari. Tidak hairan jika mereka hidup senang-lenang dan
memandu kereta mewah. Agensi terbabit lazimnya hanya beroperasi kurang setahun
di pejabat sama sebelum berpindah ke lokasi lain dan sekaligus menukar nombor
telefon untuk menjalankan kegiatan sama.
Kini pejabat di tingkat satu dan dua terbabit telah
ditinggalkan.
"Tingkat dua tempat telemarketer beroperasi
manakala tingkat satu bekas pejabat kakitangan pentadbiran termasuk bos.
Tiada papan tanda syarikat dipaparkan dan selalunya semua tingkap
ditutupi tirai. Pejabat tempat saya bekerja dahulu, pernah diserbu oleh
kakitangan Suruhanjaya Syarikat Malaysia. Sewaktu kejadian itu telemarketer diarahkan
keluar dari pejabat. Ada sekali, wakil syarikat insuran datang ke pejabat
secara mengejut. Mungkin berikutan terdapat aduan mengatakan agensi kami
menggunakan nama syarikat itu secara tidak sah untuk memperdayakan orang
ramai," katanya.
"Semasa awak bekerja, berapakah jumlah sale sehari?,"
soal saya.
"Satu atau dua sale sahaja SEBULAN sebab saya
bekerja sebagai kerani pengurusan dan cuma sesekali diarahkan bertugas sebagai telemarketer.
Pekerja lain? Mereka memang seronok. Contohnya, andaitelemarketer mampu
menipu purata enam orang pemegang kad kredit baru, pendapatan harian mereka
mencecah RM600 Kalau telemarketer tidak membuat sale langsung,
mereka akan dibuang kerja. Kaedah digunakan oleh agensi, mudah. Bayar sahaja
gaji pokok telemarketer tidak perform separuh atau jangan
membayar langsung. Maka pekerja itu tidak akan mampu bertahan dan dengan
sendirinya terpaksa berhenti," kongsi wanita itu.
Gaji pokok telemarketer, di antara RM800 dan RM1,500
sebulan dan majoriti pekerja, wanita.
"Adakah selama waktu bekerja, awak tahu agensi terbabit
menipu ramai orang?," tanya saya lagi tanpa jemu.
"Saya tahu, sebab itu saya tidak suka membuat sale.
Saya juga pernah berbual bersama kawan, bekerja sebagai marketer. Dia
sudah berkeluarga dan mempunyai anak. Saya bertanya kepada dia, sampai bilakah
awak hendak memberikan anak makan duit hasil penipuan?," balasnya.
Saya kemudian mengemukakan soalan berikut.
"Pernah terdengar rungutan di kalangan telemarketer?
Mungkin mereka tertekan kerana terpaksa membuat terlalu banyak panggilan
sehari?"
"Pernah! Namun kakitangan pihak pengurusan amat bijak
memainkan peranan mereka. Untuk mengalihkan pandangan dan tumpuan telemarketer,
mereka mengajak kami makan dan berkata, hari ini awak semua tidak perlu
membuat panggilan, kita semua boleh berehat. Mereka juga membuat pekerja
gembira menggunakan elemen kejutan. Baiklah, minggu ini kita akan pergi
melancong ke Melaka! Semua kos dibiayai sepenuhnya oleh agensi. Di samping itu,
pakej insentif berkumpulan juga ditawarkan kepadatelemarketer. Contohnya, jika sale mencecah
sasaran, 60 sehari, pakej pelancongan lebih istimewa ditawarkan kepada mereka.
Bagaimanapun melalui pengalaman saya, purata tempoh telemarketer bekerja
di agensi itu hanya di antara lima dan enam bulan sahaja," kata
Elis.
"Adakah semua telemarketer menyedari mereka
bekerja di agensi menipu orang ramai?," soal saya.
"Tidak semua. Saya lebih banyak tahu kerana bekerja
sebagai kerani pengurusan tetapi itupun atas tujuan mencari rezeki,
terpaksalah. Telemarketer tidak tahu langsung berhubung keuntungan
ditangguk oleh agensi apatah lagi status nama bank dan syarikat insuran mereka
gunakan untuk memperdaya pemegang kad kredit dan debit sewaktu menjalankan
tugas. Pihak pengurusan terlebih dahulu memaklum dan menyakinkan telemarketer,
operasi dijalankan itu kononnya sah dan dokumen peribadi pemilik kad dibekalkan
oleh pihak bank," ujar Elis.
Tambah Elis, kebanyakkan telemarketer, pemegang diploma
dan ijazah. Justeru mereka mampu berkomunikasi dalam dwi bahasa, bahasa Melayu
dan Inggeris tatkala berkomunikasi dengan bakal mangsa.
"Kalau betul betul bekerja berbekalkan mulut manis,
daya pujuk dan telinga tebal, mereka boleh meraih pendapatan bulanan di antara
RM3,000 dan RM4,000. Andai kata bakal mangsa marah, telemarketer harus
bersikap sabar kerana kakitangan pengurusan berkata, penjawab panggilan bukan
berada di hadapan awak. Jadi, mengapakah awak harus berasa takut? Semua
bertugas di pejabat agensi sama dilatih untuk menjawab pelbagai soalan
dilontarkan oleh pemegang kad kredit dan debit, kekadang dihubungi berulang
kali menggunakan teknik dicetak sebagai panduan. Adakalanya bakal mangsa
bertindak bijak. Mereka memberikan alasan kononnya sedang bermesyuarat dan
meminta untuk dihubungi kemudian dan selepas itu tidak akan melayan panggilan
kami. Hanya mereka bersikap lalai sahaja terpedaya," kongsi Elis.
Jika kini tiba-tiba dihubungi telemarketer, apakah
respon awak? Soalan itu saya lontarkan kepada wanita hanya meminum teh 'O' ais
limau ketika saya temui.
"Saya pernah bekerja seperti kamu sebelum ini dan kamu
tidak perlu menipu saya sebab kamu cuma ingin mendapatkan security code tiga
digit itu, kan? Terima kasih," balasnya yakin.
Elis turut membawa saya ke lokasi agensi dipercayai masih
beroperasi.
"Berikan saya tiga bank seringkali data peribadi
pelanggan mereka diperolehi oleh agensi secara mudah," soal saya dengan
debaran.
"M....., R..... dan C.... Itu bank paling popular dan
mangsa sebelum ini, ramai pelanggan institusi kewangan terbabit,"
responnya tanpa kelihatan teragak-agak.
"Soalan terakhir, adakah senarai nama dan maklumat
perbankan peribadi individu menjadi mangsa atau tidak, dibekalkan oleh
kakitangan syarikat telekomunikasi atau ...?," tanya saya.
Memang saya membiarkan soalan itu tergantung.
"Sekali, saya dan kakitangan pengurusan agensi pernah
bertemu dengan lelaki mendakwa kakitangan bank. Kami bertemu di restoran mamak.
Dia menyerahkan senarai kira-kira 200 nama, lengkap beserta data peribadi
perbankan pelanggan dalam bentuk pen drive. Setiap satu data dijual
dengan harga di antara RM1 dan RM1.50. Apapun pastinya bukan semua kakitangan
institusi perbankan terbabit," jelas Elis.
"Wow! Semurah itu?
Saya terkejut.
"Ya dan lazimnya dalam tempoh dua minggu, secara rutin
agensi akan membeli senarai data lain pula, dibekalkan individu sama atau
berbeza. Melalui pengalaman, saya boleh mengesahkan, syarikat telekomunikasi
tidak terbabit dalam sindiket penipuan ini," balasnya.
NOTA
Perkataan 'telemarketer' dalam entri ini secara
spesifik HANYA merujuk kepada pekerja di bekas agensi Elis pernah bertugas
sekaligus BUKAN ditujukan kepada SEMUA telemarketer di seluruh
negara.
Justeru telemarketer lain, tidak terbabit
dengan kegiatan penipuan, usah terasa mahupun melenting.
SILA SEBARKAN KANDUNGAN ENTRI INI DI FACEBOOK, BLOG DAN TWITTER UNTUK
MEMPERTINGKATKAN KESEDARAN MASYARAKAT AGAR TIDAK KERUGIAN AKIBAT DIPERDAYA
0 ulasan:
Post a Comment