Pada 28 November 2009 iaitu Hari Raya Aidil Adha yang kedua, aku sekeluarga telah berada di Kemaman (rumah nenek isteriku). Lebih kurang pukul 3:00 petang, kami sekeluarga ke rumah mak saudara sebelah isteriku yang tinggal di perumahan Taman Geliga.
Semasa datang beraya di rumah mak saudara sebelah isteriku itu, satu peristiwa yang amat mengujakan telah berlaku di depan mataku angkara MULUT dan LIDAH yang tidak bertulang tu. Apa tidaknya sibuk-sibuk aku nak beraya tiba-tiba terdengar kegemparan bunyi orang bertengkar. Seorang lelaki yang sememangnya berbadan sasa (yang telah menjadi sasaran penduduk taman kerana mulut dan sikap berlagaknya itu) telah bertengkar dengan seorang wanita yang mempertahankan ibunya yang ingin dilanggar oleh pemuda ini pada sebelah paginya.
Pemuda ini telah mengeluarkan kata-kata yang amat tidak enak didengari apatah lagi oleh kanak-kanak yang berada di situ. Wanita yang cuba mempertahankan ibunya terpaksa mengalah ekoran ingin menjadi status kewanitaanya (pendapat akulah) kerana ramai orang yang melihat adegan tersebut. Tak kala pemuda ini ingin pulang ke rumahnya, tiba-tiba seorang lelaki telah memanggil pemuda ini ke sebuah rumah. Maka dengan gagahnya pemuda yang berbadan sasa ini menuju ke rumah pemuda yang memanggilnya. Alangkah terkejutnya aku apabila melihat sekumpulan lelaki juga menuju ke rumah pemuda berbadan sasa itu pergi dengan salah seorang daripada mereka membawa sebatang kayu yang agak sesuai untuk memukul orang.
Apa lagi tak sampai seminit aku mendengar bunyi tumbukan dan jeritan dari sang isteri agar pergaduhan yang tercetus itu berhenti. Lebih kurang 3 minit juga barulah aku melihat sekumpulan lelaki keluar dari rumah itu dan seminit selepas itu aku melihat lelaki bertubuh sasa itu keluar dengan berlumuran darah di mulut dan badannya yang tidak berbaju.
Lelaki berbadan sasa itu terus menaiki keretanya menuju ke hospital sendirinya. Tetapi niatnya terhenti kerana sebuah kereta peronda datang ke tempat kejadian tersebut. Lelaki itu telah meminta polis menahan beberapa orang yang dia kenal pasti telah memukulnya. Tetapi anggota polis yang berpangkat sarjan itu bertindak secara profesional dengan mengarah pemuda itu untuk ke balai untuk membuat laporan. Lelaki yang kena belasah itu tidak puas hati dan meminta sarjan itu menangkap lelaki yang memukulnya dengan memberi arahan dengan nada yang agak keras. Sarjan itu masih meminta lelaki itu ke balai untuk membuat laporan agar tindakan susulan boleh dibuat. Lelaki itu terpaksa mengalah jua akhirnya.
Selepas itu aku melihat tiga buah kereta telah menuju ke balai polis termasuklah wanita yang mempertahankan ibunya.
Pengajaran dari kisah ini ialah kita yang hidup berjiran perlu ada rasa tolak ansur antara satu sama lain. Di samping itu juga kita perlu menjaga mulut dan lidah kita agar tidak menyakiti orang lain.