Ungkit-mengungkit tidak akan memberikan kita rasa tenang dan damai. Tetapi jika kita melihatnya sebagai satu tanggungawab dan lambang kasih sayang dalam keluarga, tidak mustahil kita boleh kembali tersenyum girang.
“Berkorban apa saja, harta ataupun nyawa. Itulah kasih mesra, sejati dan mulia…” Demikianlah bait-bait puitis yang didendangkan oleh Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dengan pasangannya Zaiton dalam filem Hang Tuah suatu masa dahulu. Kedengarannya amat mudah. Namun, hakikatnya hanya tuan empunya diri sahaja yang tahu.
Allah menjadikan setiap ciptaan untuk saling melengkapi antara satu sama lain. Begitulah juga keadaannya dalam rumah tangga. Isteri menjadi pelengkap suami, sementara suami pula menjadi pelengkap isteri. Justeru, mahu tidak mahu, kita perlu menerima hakikat bahawa ‘pengorbanan’ itu perlu dilakukan bagi memastikan keluarga yang dibina lengkap, ataupun setidaktidaknya berada dalam keadaan sejahtera.
Namun sayangnya, ramai yang lebih bersedia untuk berkorban ketika bercinta berbanding sesudah bergelar suami isteri. Bukankah itu merugikan kerana kita berkorban untuk orang yang belum tentu menjadi pasangan hidup kita. Sedangkan secara realitinya berkorban untuk sesuatu yang sememangnya sudah kita miliki adalah jauh lebih berbaloi.
Barangkali ramai yang kurang menger ti konsep pengorbanan yang sebenar. Apabila kita berkorban, ia perlu dibuat dengan ikhlas. Dan sudah tentu tidak harus wujud unsur paksaan di situ. Jika keikhlasan yang mengiringi setiap perlakuan kita, maka secara automatik tidak akan timbul rasa terbeban atau dibebankan. Malah, sebagai individu yang beriman hanya kepada Allah, kita juga perlu sedar, ganjaran terhadap pengorbanan yang kita lakukan tidak semestinya datang daripada manusia. Sebaliknya, yang lebih istimewa dan paling penting ialah imbalan yang bakal diperoleh daripada Allah SWT sama ada di dunia mahu pun akhirat.
Antara individu yang paling banyak melakukan pengorbanan ialah Rasulullah SAW. Baginda bukan sahaja melakukannya untuk anggota keluarga, tetapi juga untuk seluruh umatnya. Bayangkanlah… Baginda sanggup dihina, dicerca dan dicederakan semata-mata mahu melihat sekalian umatnya beriman kepada Allah sekali gus menjadi penghuni kepada syurga-Nya. Lihatlah… Bukankah itu pengorbanan yang cukup besar? Dan pernahkah Rasulullah meminta minta balasan atas setiap pengorbanannya?
Baginda pernah bersabda yang bermaksud: “Orang yang paling baik di kalangan kamu ialah orang yang paling baik (pergaulannya) dengan ahli keluarga dan aku adalah yang terbaik dari kalangan kamu dalam pergaulan dengan ahli keluargaku.” (Ibnu Majah dan Ibnu Hibban).
Justeru, sikap saling mengungkit pengorbanan yang dibuat dalam keluarga sama ada oleh suami, isteri mahu pun anakanak bukanlah suatu yang wajar dilakukan. Malah, Islam tidak senang dengan cara sebegitu. Ungkit-mengungkit tidak akan memberikan kita rasa tenang dan damai. etapi jika kita melihatnya sebagai satu tanggungawab dan lambang kasih sayang dalam keluarga, tidak mustahil kita boleh kembali tersenyum girang.
Cubalah kita contohi sikap terpuji Rasulullah. Pada masa yang sama kita renungkan sejenak. Kalaulah dalam keluarga sendiri kita boleh bersikap ‘cukup berkira’ melakukan pengorbanan, bagaimana pula kita dengan orang luar? Jikalau pun kita hanya melakukannya kepada keluarga, pernahkah kita terfikir orang luar boleh melakukan perkara yang sama?
Ingatlah, kehidupan ini berputar ibarat roda. Jika hari ini kita berbuat tidak baik terhadap orang, suatu hari kita juga akan menerima nasib yang sama.
sumber: I Luv Islam
0 ulasan:
Post a Comment