Blogroll

Thursday, October 6, 2011

MENGUMPAT YANG DIBENAR OLEH SYARAK

Perbuatan mengumpat merupakan dosa yang sering dilakukan oleh seseorang tanpa disedari. Dosa ini hanya boleh ditaubati dengan meminta maaf kepada orang yang diumpatnya itu.
Firman Allah SWT dalam surah al-Hujuraat : 12
... وَلَا تجَسَّسُوْا وَلَا يَغْتب بَعْضُكُمْ بَعْضًا أيُحِبُّ أحَدَكُمْ أنْ يَأكُلَ لحْمَ أخِيْهِ مَيْتا فَكَرهْتمُوْهُ ...

Ertinya : ... dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang , dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. adakah seorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya...
Namun begitu, terdapat beberapa keadaan seseorang itu di haruskan untuk melakukan perbuatan mengumpat itu. Imam al-Ghazali dan Imam al-Nawawi menyatakan bahawa seseorang itu boleh melakukan perbuatan mengumpat dalam enam perkara yang di benarkan oleh syarak :
(1) Membanteras Kezaliman : Orang yang dizalimi boleh membuat aduan kepada pihak pemerintah seperti khalifah dan hakim atau kepada orang yang mempunyai kemampuan terhadap individu yang menzaliminya agar kezaliman itu dapat dibanteras.
(2) Membasmi Kemungkaran : Perbuatan mengumpat yang bertujuan untuk membasmi kemungkaran seperti apabila seseorang berkata kepada orang yang mempunyai kemampuan untuk mengubah kemungkaran dengan katanya "si polan melakukan kemungkaran, maka cegahlah ia daripada kemungkaran tersebut". Maka di bolehkan, dengan syarat tujuannya itu semata-mata kerana ingin mencegah kemungkaran.
Namun seandainya kemungkaran itu hanya berkaitan dengan Allah SWT yang tidak melibatkan sebarang kezaliman kepada orang lain, maka haram hukumnya kita dedahkan kejahatan yang disembunyikan tersebut, kerana dengan menyebarkan kepada masyarakat umum, ini akan mendedahkan aib seseorang. Selagimana kemungkaran itu tidak dilakukan secara terang-terangan, maka kita tidak boleh mendedahkannya kepada orang lain.
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda :
"مَنْ سَترَ عَلى مُسْلِمٍ سَترَهُ اللهُ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَة"
Ertinya : Sesiapa yang menutupi keaiban seseorang muslim, nescaya Allah SWT akan menutupi keaibannya di dunia dan akhirat kelak.

Imam Ibnu Hajar dalam kitabnya فتح المبين menjelaskan bahawa manusia itu terbahagi kepada 2 golongan :
i - Orang yang tidak pernah disebut melakukan kejahatan atau kemungkaran. Jika terdengar atau diketahui bahawa mereka melakukan sesuatu kemungkaran, maka tidak harus didedahkan atau diperkatakan. Jika tetap perkataan atau didedahkan kemungkaran yang didengari itu, maka ianya menjadi umpatan yang hukumnya adalah haram dan berdosa.
ii - Orang yang sudah terkenal melakukan kejahatan atau kemungkarannya secara terang-terangan. Malah tidak memperdulikan sebarang nasihat yang diberikan dan tidak malu melakukan kejahatan secara terbuka. Maka harus didedahkan keaibannya. Bercakap dan mendedahkan mengenai kejahatan mereka dalam situasi ini adalah tidak lagi di anggap berdosa atau mengumpat.
(3) Meminta Fatwa : Meminta fatwa dari seorang mufti yang mana orang yang bertanya terpaksa menggunakan umpatan bagi menjelaskan masalahnya kepada mufti.
(4) Memberi Peringatan : Memberi peringatan kepada para muslim terhadap kejahatan dan kemungkaran seseorang agar setiap orang dapat menghindari kejahatannya.
(5) Orang Yang Menzahirkan Kejahatannya : Apabila seseorang itu menzahirkan kejahatan dan kemungkaran yang dilakukan, maka ketika itu tidak mengapa seandainya kita menghebahkan kepada masyarakat akan kejahatan yang dilakukannya kerana dia sendiri telah pun menzahirkan kejahatannya secara terang-terangan. Walaubagaimanapun kejahatan yang di benarkan untuk didedahkan hanyalah perbuatan mungkar yang dilakukannya secara terang-terangan sahaja. Adapun kejahatan lain yang dilakukan secara bersembunyi, maka haram hukumnya untuk didedahkan kepada masyarakat umum.
(6) Untuk Dikenali : Mengumpat dengan tujuan untuk mengenali seseorang, apabila seseorang individu itu dikenali dengan suatu aib yang ada pada dirinya, maka kita boleh menggunakan gelarannya yang merupakan aib tersebut atas tujuan untuk mengenali orang tersebut. Namun kebenaran ini di bolehkan dengan syarat si pemilik aib tersebut tidak merasa marah dengan gelaran yang disandarkan kepadanya selepas gelaran tersebut dikenali oleh orang ramai.
Kesimpulan :
Perbuatan mengumpat hendaklah dihindari oleh setiap muslim dalam kehidupan sehariannya kerana ianya merupakan sesuatu penyakit yang boleh membawa kepada melakukan dosa-dosa besar. Adalah dinasihatkan bahawa kita hendaklah berhati-hati dalam mengeluarkan kata-kata dan ucapan kerana ditakuti perkataan, kata-kata dan ucapan kita itu akan membawa kita kepada melakukan dosa-dosa yang dilarang oleh Allah SWT.
Tambahan : Hari ini kezaliman para pemimpin dilakukan secara terang-terangan. Mereka yang berpakaian tetapi seperti bertelanjang berjalan sana-sini secara terang-terangan tanpa segan silu. Kejahatan dan Kemungkaran dilakukan secara jelas dan nyata tanpa ada lagi perselindungan. Fikir-fikirkanlah ...
Rujukan : "Bab al-Ghibah"
- Kitab Ihya' Ulumuddin oleh Imam al-Gahzali r.a
- Kitab Syarah Sohih Muslim oleh Imam al-Nawawi r.a

0 ulasan:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...