Blogroll

Saturday, May 21, 2011

Kenaikan harga: Bersedialah hadapi hakikat baru ekonomi

KUALA LUMPUR: Seluruh rakyat Malaysia kini perlu menerima hakikat sebenar mengenai keadaan ekonomi global dan lebih berhemat dalam berbelanja serta lebih fokus dalam memulihara sumber berharga seperti tenaga elektrik dan air, di samping tidak terlalu mengharapkan subsidi.

Pendekatan ini amat penting dalam menghadapi kenaikan kos pelbagai barangan dan perkhidmatan berikutan kenaikan harga minyak di pasaran global serta kekurangan bekalan makanan akibat perubahan iklim.


Dalam perbualan dengan Bernama, beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pakar ekonomi mengalu-alukan kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Khamis ketika beliau menyeru rakyat Malaysia supaya mempersiapkan mental masing-masing untuk menghadapi kenaikan harga pelbagai produk berikutan kenaikan harga minyak dan penurunan jumlah bekalan makanan yang diakibatkan oleh perubahan iklim sejagat.
Dalam kenyataan itu, Muhyiddin juga menasihati rakyat supaya mengawal perbelanjaan masing-masing serta berusaha meningkat bekalan makanan sendiri.

"Jika ini dilakukan, orang ramai tidak akan terlalu merasai bebannya apabila negara menghadapi kenaikan kos dan inflasi kelak," katanya.

Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) Datuk N Marimuthu berkata, dalam menghadapi hakikat baru ekonomi ini, orang ramai perlu diberi kefahaman mengenai perkara penting dalam kehidupan mereka seperti kuasa pasaran, sistem dan mekanisme penetapan harga serta penyusunan semula subsidi.

"Secara umumnya, sejak 50 tahun lalu, kita katakan kita mampu menangani segalanya...tapi, dalam tempoh tiga tahun lalu, ternyata, kita tidak berupaya untuk menangani semua perkara. Orang ramai perlu disedarkan bahawa kita tidak boleh melarikan diri daripada kesan kenaikan harga minyak dan perubahan iklim, yang kesemuanya merupakan fenomena global," katanya.
Marimuthu berkata, oleh kerana faktor luaran mempunyai pengaruh yang amat besar terhadap harga, maka orang ramai perlu memainkan peranan masing-masing dalam menghadapi keadaan yang amat mencabar pada masa akan datang.

Pada waktu yang sama, beliau meminta kerajaan supaya terus berusaha melindungi golongan miskin, lebih-lebih lagi golongan yang teramat miskin, daripada menerima kesan buruk akibat kenaikan harga untuk memastikan mereka tidak tersisih daripada arus utama pembangunan.

Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Dr Maamor Osman pula berkata, beliau menerima hakikat bahawa memang bukan mudah untuk mengubah mentaliti orang ramai, tetapi beliau berharap mereka akan kurang membeli barangan yang tidak begitu diperlukan agar mereka mempunyai lebih banyak wang untuk membeli barangan keperluan. - BERNAMA

0 ulasan:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...